Tuesday, 1 October 2013

Ayam dicemari bakteria salmonella punca keracunan makanan

AYAM DICEMARI BAKTERIA SALMONELLA PUNCA KERACUNAN MAKANAN


SUNGAI PETANI, 1 Okt (Bernama) -- Hidangan ayam masak merah yang dihidangkan
dalam kenduri kahwin di Kampung Huma, Tanjung Dawai dekat sini Sabtu lepas
dicemari bakteria Salmonella, menyebabkan empat kematian dan ratusan lagi
keracunan makanan setakat ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah Dr Ismail Abu Taat berkata bakteria itu
ditemui di dalam spesimen hasil bedah siasat ke atas mangsa dan sampel yang
diperoleh dari tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati ayam yang diguna untuk majlis perkahwinan itu tidak
disimpan dengan baik dan dibiar pada suhu bilik selama semalaman, sebelum
dimasak pada hari kenduri, katanya dalam sidang media di Hospital Sultan Abdul
Halim (HSAH), di sini petang tadi.
Katanya berdasarkan keterangan tuan rumah, kira-kira 130 ekor ayam dibeli
pada Jumaat dan digoreng sebelum disimpan di dalam sebuah bilik pada suhu biasa.
"Ini menyebabkan ayam tersebut dicemari dan dijangkiti bakteria Salmonella.
Ayam itu berbau bila hendak dimasak keesokan harinya, tetapi tuan rumah mahu
memasak kerana bimbang makanan untuk tetamu tidak mencukupi," katanya.
-- LAGI
KERACUNAN-SALMONELLA 2 SUNGAI PETANI
Beliau berkata mangsa yang makan makanan tercemar itu tidak mengalami
simptom keracunan pada kadar segera sebaliknya bakteria Salmonella hanya meragam
selepas lebih 12 jam sebelum menjadi keracunan, menyebabkan mangsa mengalami
cirit-birit, loya, muntah, perut memulas dan kehilangan air dalam badan secara
teruk.
Katanya setakat ini 200 mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital
berdekatan sekitar daerah ini dan daripada jumlah itu 127 pesakit mendapatkan
rawatan di HSAH dengan 38 dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata 127 lagi pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Yan dengan
62 orang ditahan untuk rawatan lanjut dan selebihnya dibenar pulang selepas
mendapat rawatan.
Dr Ismail berkata seorang pesakit lelaki berusia 58 tahun kini berada dalam
keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSAH.
"18 kes pesakit dirujuk ke Hospital Sik dan Baling ekoran keadaan Hospital
Yan tidak mampu menampung jumlah pesakit yang ramai. Saya nasihatkan mangsa yang
mempunyai simptom keracunan makanan selepas makan kenduri di rumah tersebut agar
tampil mendapatkan rawatan segera.
-- LAGI
KERACUNAN-SALMONELLA 3 (AKHIR) SUNGAI PETANI
"Saya berharap pengendali makanan untuk kenduri menyimpan makanan atau bahan
mentah secara betul dan menitik berat aspek keselamatan makanan agar perkara
sama tidak berulang," katanya.
Semalam, tiga mangsa keracunan makanan meninggal dunia selepas menghadiri
satu majlis kenduri kahwin itu manakala hari ini seorang lagi meninggal dunia.
Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Nurshazana
Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, yang meninggal dunia kira-kira
pukul 12.45 tengah hari semalam dan Mohammad Nor Rahmad Yusof, 11, dari Kampung
Singkir Laut, Yan meninggal dunia kira-kira 1 petang.
Seorang lagi mangsa Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi, Kuala
Besut, Terengganu, meninggal dunia di HSAH kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Hari ini, Wan Razali Yaakob, 56, dari Kampung Banggol Belau, Merbok disahkan
meninggal dunia pukul 7.15 malam selepas dimasukkan ke ICU HSAH pagi semalam.
-- BERNAMA
MKF KAY NM

No comments:

Post a Comment